Sabtu, 9 Oktober 2010

Bank Rakyat perkenal tiga perkhidmatan baru

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) merancang memperkenalkan tiga lagi perkhidmatan terbarunya iaitu akaun semasa, pertukaran mata wang dan akaun emas awal tahun depan. Penolong Pengurus Besar Operasi Cawangannya, Baharom Embi berkata, perkhidmatan itu dijangka disediakan di semua cawangan Bank Rakyat di seluruh negara.

Beliau berkata, Bank Rakyat juga sudah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sedang membina infrastruktur dan tenaga kerja untuk perkhidmatan baru itu.

“Sebagai bank koperasi di negara ini, kami berpendapat perkhidmatan baru itu kelak berupaya membantu orang ramai yang memerlukan perkhidmatan akaun semasa atau pertukaran mata wang, malah semua perkhidmatan itu berlandaskan perbankan Islam,” katanya pada majlis pelancaran premis baru Bank Rakyat cawangan Kepong di ibu negara, semalam.

Hadir sama Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kepong, Mohd Khuzaini Ab Ghani dan Ketua Wilayah Tengah, Mohamad Nasip Saiat.

Baharom berkata, dengan ada perkhidmatan pertukaran mata wang, bank itu akan memperoleh dua pendapatan untuk perkhidmatan penghantaran wang ke luar negara iaitu hasil keuntungan pertukaran nilai mata wang serta komisen daripada pengendali perkhidmatan penghantaran wang ke luar negara, Western Union Co, berbanding hanya komisen yang diterima sekarang.

Menurutnya, kadar keuntungan rendah iaitu satu peratus ditawarkan akaun semasa akan membolehkan bank memperoleh julat keuntungan lebih tinggi.

Sumber: Harian Metro - 5/10/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan